Saturday, October 24, 2009

VISA REQUIREMENT *PENTING*



Saudara / Saudari Pelajar Tajaan MARA ,



PERINGATAN KEPADA PEMEGANG VISA PELAJAR DI REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN


Dengan hormatnya saya diarah menarik perhatian saudara/saudari kepada perkara di atas.


2. Secara umumnya, pihak berkuasa pengajian tinggi di Republik Persekutuan Jerman berpuashati dengan disiplin dan urusan pengajian pelajar Malaysia di sini. Walaupun begitu, terdapat pihak yang merasa bimbang dengan tindakan pelajar yang melanggar peraturan bukan sahaja di peringkat universiti dan negeri, bahkan undang-undang Persekutuan yang berkaitan dengan visa pelajar.


3. Diantara kesalahan yang sering dilakukan adalah seperti tinggal melebihi tempoh visa serta melaksanakan pertukaran universiti tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Akibat daripada tindakan ini, beberapa orang pelajar Malaysia telah dihantar pulang dan berkemungkinan telah dimasukkan sebagai senarai hitam serta tidak layak lagi untuk menyambung pengajian di universiti di seluruh Kesatuan Eropah.


4. Disamping itu, pelajar-pelajar yang telah tamat tempoh pengajian atau telah ditamatkan pengajian dan tidak pulang ke Malaysia dengan segera adalah bertaraf penduduk haram di negara ini. Perbuatan ini bukan sahaja mendatangkan masalah kepada pelajar, bahkan turut mencemarkan nama baik Malaysia di Republik Persekutuan Jerman. Kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di negara ini.


5. Sehubungan itu, semua pelajar Malaysia dan pelajar-pelajar tajaan MARA khususnya hendaklah sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang sepanjang berada di negara ini sama ada di peringkat universiti, kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan. Sebarang ketidakpastian berkenaan sesuatu perkara atau peraturan hendaklah sentiasa dirujuk kepada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt.

Sekian, terima kasih.




"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

"1MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"




Saya yang menurut perintah,

(RUZLAN BIN ABD MALEK)

Konsul (Pelajaran) MARA

b/p Konsul Jeneral

Konsulat Jeneral Malaysia

Frankfurt, Jerman.

No comments: